Blogger templates

Saturday 12 September 2015

Petanda Mimpi Yang Menjadi Kenyataan


                                                                

Hari ni saya nak cakap pasal mimpi. Saya tahu selalunya mimpi dikaitkan dengan mainan tidur.  Memang kita tak seharusnya terlalu taksub dengan mimpi yang kita alami sewaktu tidur tetapi apa yang ingin saya kongsikan ini adalah mimpi yang telah  menjadi kenyataan didalam sebahagian daripada hayat saya.
Ada mimpi yang menggembirakan hidup saya dan ada juga yang sebaliknya.  Saya terima mimpi ini semua yang hati yang terbuka.

Walaupun begitu saya selalunya tidak terlalu memberi perhatian kepada mimpi yang saya dapat melainkan gambaran didalam mimpi tersebut sangat jelas dan nyata.

Dibawah adalah sebahagian mimpi yang saya lalui yang menjadi kenyataan:
1) Saya mengalami sakit yang amat sangat di kedua-dua belah kaki saya (dibahagian benjol ibu jari) selama beberapa tahun. Tidak pernah saya ke hospital atau klinik untuk membuat pemeriksaan. Pada pandangan saya ia mungkin desebabkan sewaktu muda, pekerjaan saya memerlukan saya berdiri selama lapan jam sehari. Itu yang mengakibatkan kesakitan, itu yang saya fikirkan.

Satu malam saya bermimpi, saya kerumah ibu angkat saya di Pulau Pinang. Sewaktu dirumahnya ada seorang lelaki sedang mengurut lengan  ibu angkat saya. Kemudian dia mengalih pandangan kea rah saya dan bertanya samada saya ingin mengurut kaki yang sakit itu.
Saya mengangguk kepala dan dia mula mengurut kedua-kedua belah benjolan di ibu jari kaki saya. Saya dapat merasakan perasaan yang nyaman dan “soothing” sewaktu urutan itu.
Pagi esoknya setelah bangun dari tidur, saya terperasan yang kedua belah kaki saya terasa sangat ringan. Kesakitan yang saya alami dulunya dah berkurang.  Setelah beberapa bulan kesakitan itu hilang terus sehingga ke hari ini.

2) Sewaktu saya masih menetap di Langkawi, ada satu kejadian yang agak mencemaskan terjadi kepada kami. Waktu itu kami baru beberapa bulan berpindah ke rumah yang baru dibeli. Keadaan dikawasan perumahan itu sangat sunyi kerana hanya ada dua  atau tiga rumah yang dihuni.
Walaupun rumah itu mempunyai 4 bilik tidur, tetapi kami semua tidur diruang tamu dibahagian bawah kerana masih tidak biasa dengan suasana gelap dan sunyi di situ.

Kami tidur agak awal pada malam kejadian, iaitu malam dimana rumah saya hampir dipecah masuk oleh perompak. Sebelum kejadian, saya telah bermimpi  rumah kami di datangi seorang lelaki dan beliau hanya berdiri dilaluan masuk ke rumah . Dia hanya berdiri dan memandang terus kedalam rumah. Saya terkejut dari mimpi lalu terus bangun  dengan mengucap ‘Astaghfirullah’. Suami yang tersedar dengan keadaan saya, menanyakan keadaan saya. Saya beritahu mimpi yang saya alami.
Kami berdua bangun untuk meninjau didepan rumah samada ada orang yang memerhati kami. Tidak ada sesiapa dan kami sambung tidur semula. Hampir jam 3 pagi, saya dan suami tersentak apabila terdengar bunyi  dentuman yang agak kuat.  Anak-anak  tidur dengan nyenyaknya tanpa menyedari apa yang sedang berlaku.
Kedua-dua kami bergegas bangun dan meninjau sekeliling rumah. Tidak ada apa-apa yang pelik. Saya kemudian kedapur dan menarik ‘blind’ yang menutupi tingkap cermin untuk melihat keluar. Apa yang saya nampak sangat mencemaskan perasaan. Pagar dibelakang rumah telah dipotong dan dibiarkan terbuka supaya senang perompak itu melepaskan diri. Bunyi dentuman itu pula datang dari tingkap cermin yang cuba diumpil.

Sepatutnya saya memberi sedikit perhatian terhadap mimpi saya diawal tidur tadi tetapi saya macam saya lah, tak ambil berat hal-hal sebegini. Tapi saya bersyukur tiada kejadian buruk berlaku kepada kami sekeluarga. Perompak itu mungkin terkejut dengan bunyi yang dihasilkan oleh mereka sendiri dan bertindak melarikan diri sebelum kami sempat berbuat apa-apa.

3) Saya pernah bermimpi (dirumah yang sama di Langkawi), saya didatangi seorang wanita berambut merah dan dia duduk bersila didepan saya. Wanita itu dengan bersuara perlahan tetapi bernada keras berkata kepada saya, “Kalau aku tak dapat buat apa-apa kali ni, aku akan cuba lagi dimasa depan.”

Saya terbangun dari mimpi yang menakutkan itu berpeluh-peluh seluruh badan. Sebelum dari mimpi itu lagi saya telah diberitahu oleh jiran yang juga boleh berubat  cara traditional, yang saya mungkin telah diilmu hitamkan . Tetapi jujur saya beritahu, saya bukanlah jenis orang yang percaya sangat dengan hal sebegini dan saya tak pernah ambil ‘pot’ pun akan perkara sebegini.

Walau bagaimana pun saya harus akui dalam dua tahun tersebut, (mungkin dalam tahun 2003 ~ 2005) saya kerap sakit dan sangat lemah. Yang membuat saya sedikit yakin dengan hal sihir-menyihir ini ialah apabila saya terjumpa jarum yang berbenang kuning  dan putih untuk 2 pagi berturut-turut dihadapan pintu pagar rumah saya dan pada hari ketiga, kami terjumpa beras kunyit pula.  Saya juga mengalami rasa yang amat berat berada diatas bahu saya atau di atas kepala, seolah-olah ada sesuatu yang duduk dibahagian itu selama berbulan-bulan. Kedudukan tempat ini berubah-ubah. Yang terakhir adalah dibahagian perut sebelum ia hilang terus.
Alhamdulilah, apa jua perkara yang berlaku kepada saya beberapa tahun yang lalu, sudah hilang dan sembuh sepenuhnya. Namun saya masih tidak yakin yang saya telah di ‘buat orang’ dulu. Mungkin secara kebetulan saya sakit biasa diwaktu kejadian itu. Wallahualam…

4) Dalam banyak-banyak  petanda mimpi, petanda sebelum kematian yang kerap saya alami. Saya mula mendapat petanda kematian bermula dengan arwah tok saya.
Dalam mimpi itu, saya berada diatas permukaan bukit yang hijau dan ada banyak tiang-tiang roman yang besar seperti yang dapat kita lihat di Italy. Tiba-tiba ada dua ekor burung putih yang sedang  terbang melewati saya. Burung burung itu kemudian jatuh keatas kedua tapak tangan saya, mati.
Tok saya meninggal dunia selang beberapa bulan selepas itu.

Pada 25hb.Ogos 2001, adalah hari jadi anak lelaki saya yang kedua iaitu Soffian. Saya sedang menyiapkan sedikit jamuan kecil utk menyambutnya. Deringan telefon pada pagi hari itu adalah panggilan daripada kakak saya yang membawa berita bapa saya telah pulang ke Rahmatullah.
Seminggu sebelum pemergiannya, saya mendapat petanda didalam mimpi. Didalam mimpi itu, saya nampak ada seakan-akan buih-buih kecil yang jernih seperti kaca Kristal menjurus keatas. Saya terbangun dari tidur lalu terus duduk menegak dengan mengucap Allahu Akbar. Rupa-rupanya ia adalah petanda sebelum pemergian ayahanda saya seminggu selepas itu.

Saya juga mendapat petanda sebelum kembalinya abang ipar saya pergi mengadap PenciptaNya.
Dua kali saya bermimpi (berlainan malam ),mimpi malam yg pertama, saya memakai seluar yang poketnya koyak.  Mimpi malam berikutnya  (selang beberapa malam) suami saya memakai seluar koyak dihadapan rumah kami sambil memetik buah mangga.
Abang ipar saya meninggal lebih kurang dua bulan kemudian.

Petanda mimpi terakhir sebelum satu lagi kematian ialah sebelum adik bongsu saya meninggal pada bulan Januari tahun ini. Sebelum saya mendapat petanda melalui mimpi, saya terlebih dulu dapat petanda melalui perasaan dalaman. Saya banyak bersedih dengan tidak bersebab. Saya akan terbangun di tengah malam dengan hati berdebar-debar dan menangis sayu sendirian.

Hinggalah satu malam saya bermimpi, saya berada di rumah seseorang yang saya kenali dan tuan rumah itu menjamu saya makan nasi tomato. Apabila nasi itu dihidangkan dihadapan saya, warna merah tomato sudah tiada lagi tapi berganti dengan nasi yang berwarna hitam. Walaupun pelik, saya tetap makan nasi tersebut.
Itu adalah sebahagian daripada mimpi yang saya alami sebelum sesuatu kematian.
   
Separuh lagi daripada mimpi yang saya pernah alami adalah mimpi-mimpi yang sangat indah dan menyentuh rasa. Setiap kali saya mengandungkan seorang anak, saya akan dapat mimpi yang tak dapat saya tulis semuanya bimbang akan dikatakan riak, fitnah atau dusta semata-mata.

Walaupun begitu, saya ingin berkongsi satu daripada mimpi tersebut. Saya berjalan dipadang pasir yang kontang dengan tiada apa disekelilingnya apabila tiba-tiba saya ternampak batu hajarul Aswad tergantung diawangan tanpa ada apa-apa yang mengikatnya. Saya maju dengan pantas dengan harapan dapat mencium batu itu. Sesampainya disitu, saya lihat ada seakan akan air jernih mengalir turun dari batu tersebut namun saya tetap menciumnya.

Daripada semua mimpi-mimpi yang pernah saya alami, saya membuat kesimpulan yang sememangnya sebagai seorang manusia, kita telah dilengkapkan dengan segala kesempurnaan baik dari pandangan mata kasar seperti bentuk tubuh fisikal maupun dari dalaman. Iaitu perasaan kasih, sayang, cinta, benci, suka, duka dan bermacam lagi perasaan yang dianugerahkan kepada kita . Dan ini termasuklah satu lagi perasaan halus iaitu kita sebenarnya telah mendapat sedikit gambaran tentang apa yang akan berlaku di dalam hidup kita dimasa akan datang tetapi memandangkan kita tidak peka dengan perasaan itu, maka kita selalunya menepis sebagai tidak apa dan menolak ketepi apa yang dapat kita rasai jauh didalam lubuk sanubari kita.
Perasaan ini tidak selalu datang dalam bentuk mimpi, tetapi juga dari hati kita. Degupan jantung yang kencang atau perasaan yang tidak tenang adalah sebahagian daripada petanda sesuatu mungkin akan berlaku didalam hidup kita.

Walaupun begitu, kita janganlah terlalu taksub dengan perasaan sebegini bimbang  disalah-ertikan sebagai bidaah ataupun hampir kepada syirik. Mimpi-mimpi yang sering kita alami juga sebahagian besarnya hanyalah mainan tidur. Jadi janganlah kita terlalu mempercayai mimpi kerana kebanyakannya hanyalah gangguan iblis semata-mata.

Salam hormat dari saya,
Rose
12th.Sept '15


No comments:

Post a Comment